Rindu rasanya akan imam hafiz dari Indonesia itu. Sebaya aku rasanya, dah berjaya memperoleh degree dalam Bachelor of Engineering, kena pulak hafiz. Entah apa namanya lupa. Yang pasti takkan aku lupa akan Brother Bandar. Setiap kali dia memberi ceramah atau khutbah dia akan menyeru hadirin dengan panggilan “Ooo slaves of Allah!” bergetar jiwa ku setiap kali mendengarnya. Terngiang-ngiang lagi akan suara serak imam Arab itu.
Malam raya itu aku tidak tidur. Bekerja keras untuk membuat kuih raya – strawberry cheesecake dan chocolate chip cookies. Tidak terbayang empat orang anak teruna sanggup tak tidur malam untuk memasak kuih – aku, Zumindar, Musafir bumi dan Al-Fatih, geli hati juga mengenangkannya kembali. “Kuihnya sedap” kata orang, cuma presentation agak buruk. Kami anak teruna ni manalah tahu bab-bab menghias. Sungguh manis saat itu, sungguh manis ukhwah yang terjalin antara kami, semanis strawberry chessecake.
Esoknya raya. Kami solat di padang footy Monash University. Indah sekali kedengaran simfoni alunan takbir raya, mengagungkan Yang Maha Penyayang. Sayangnya Dia kerana memberikan kemenangan ini kepadaku serta seluruh umat Islam. “Allahuakbar, Allahuakbar. Allahuakbar walillaa hilhamd” Terasa seluruh anggota turut serta bertakbir dengan getaran merendah diri dihadapan Yang Maha Mulia. Mata ku berlinangan airmata, kemenangan dirasai.
Itu dulu. Kini.....entahla. Sekarang Makmur 505 hanya tinggal aku, Avicenna dan beberapa ekor tikus. Ukhwuh mula rapuh, iman kian menurun. Layakkah esok bagiku? Layakkah aku meyambut Aidilfitri. Namun inilah hakikat Malaysia. Negara tanahair yang mereka katakan medan perjuangan sebenarnya. Medan ujian. Kadangkala timbul rasa menyesal dan tidak puas hati. Setahun di Australia semestinya tidak mencukupi bagiku. Jiwa ini masih mentah untuk dilepaskan ke lautan penuh gelora. “Iman turun naik, turun naik, kemudian terus turun, turun dan turun sehingga susah nak naik dah” itulah kata-kata Musafir bumi. Luahan perasaannya aku mendengar malam-malam terakhir Ramadhan. Jelas sekali dia pun masih lagi tidak mampu untuk menerima hakikat suasana di Malaysia ini.

Walaubagaimanapun, inilah hakikat yang harus aku terima dan harus aku lalui. Akhir-akhir ini aku menyedari apa yang dimaksudkan “Setiap detik kehidupan itu adalah tarbiyah. Janganlah meletakkan tarbiyah itu hanya pada biah dan halaqah.” Pulang ke Malaysia adalah tarbiyah. Suasana yang buruk, itu tarbiyah. Iman menurun juga tarbiyah. Bak kata ustaz “konsep asas tarbiyah kita ini bukanlah untuk melahirkan insan yang tidak melakukan dosa. Kerana sebagai manusia kita tidak mampu untuk lari dari membuat dosa. Tapi apa yang ingin dicapai melalui sistem tarbiyah kita adalah melahirkan rijal yang menyedari setiap kesalahannya dan bersegera dalam bertaubat.” Baru aku sedari, mungkin Allah ingin mengujiku, sejauh mana kepantasan kita untuk bertaubat, secepat mana untuk bersegera merendahkan diri merayu kepadaNya. Iman itu dari Allah, dan Dia jugalah mampu mengambilnya.
Teringat akan kata-kata Al-Maududi, “kita tidak boleh mengukur kuantiti iman, tetapi semua orang mampu untuk mengukur kualitinya.” Bukankah Allah berfirman “Sesungguhnya orang-orang yang beriman ialah mereka yang bila disebut nama Allah gemetarlah hati mereka, dan apabila dibacakan ayat-ayatNya bertambahlah iman mereka [8:2]”. Sekuat mana hati itu mampu bergetar, itulah kualiti iman kamu. Kita yang seharusnya menyedari tahap diri kita. Kita sahaja yang mampu mengubahnya jika disertakan dengan do’a, insyaAllah. Tiada gunanya menyalahkan orang lain mahupun suasana. Kerna setiap kesalahan atau masalah yang kita hadapi sekurang-kurangnya ada dua pihak yang terlibat. Pertama, diri kita sendiri. Kedua, orang-orang disekeliling kita. Ketiga, syaitan, musuh durjana. Persoalannya, aspek manakah yang mampu kita ubah dengan kekuatan yang kita ada?
“Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri [13:11]”
Kepada teman-teman seperjuanganku, janganlah banyak memberi alasan, merungut dan menyalahkan orang lain. Teruskan berusaha dan bertawakkal. Anda masih ada kekuatan untuk menang dalam jihad ini.....
"Taqabbal Allah hu minna wa minkum".....Semoga Allah menerima amal ibadah dari diriku dan diri kalian sekelian
“Allahuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar walillaa hilhamd!”
No comments:
Post a Comment