Saturday, October 20, 2007

jangan jadi tukang jahit

kadangkala kita terlalu 'ambitious' untuk mengejar cita-cita
terlalu berangan-angan tanpa melihat realiti diri
terlebih bersemangat sehingga tidak menghiraukan
'engkau juga manusia biasa',
adanya kelemahan, ada juga masa keletihan


rancanglah masa depan,
salurkan tenaga pada kadar yang bersesuaian,
jangan terlalu terpengaruh dengan kekuatan orang lain


ye...elok dijadikan teladan
namun, perhatikan hakikat diri
fizikal, mental dan spiritual
'ukurlah baju di badan sendiri'
jangan jadi tukang jahit

Friday, October 12, 2007

Layakkah esok bagiku?

Hari ini, hari terakhir Ramadhan. Dan esok 1 Syawal, hari kemenagan. Kemenangan yang sepatutnya diraih bagi mereka yang berjaya melawan nafsu. Berjaya membersihkan diri. Berjaya kembali ke fitrah yang suci. Aidil Fitri. Itulah maksudnya, fitrah. Kerna insan itu dilahirkan sempurna, tetapi suasana kehidupannya yang telah membuat dia tidak sempurna. “Memang sifat naluri manusia itu inginkan kesempurnaan, dan akan mencari, berjuang, bersungguh-sungguh untuk mencapai kesempurnaan itu sampailah dia menemui Tuhannya, Yang Maha Sempurna. Kesempurnaan ihsan dan taqwa. (84:6)” itulah kata-kata ustaz ketika kelas Islamic Studies. Pelajaran tasawwuf itu sedikit sebanyak membetulkan salah faham aku.

Tapi entah kenapa, rasa lain macam Ramadhan kali ini. Tak sama macam tahun lepas. Bukankah sepatutnya iman itu bertambah. Namun apa yang aku rasakan hanyalah kekeringan, bukan sahaja di bibir, malah di hati. Hati yang tandus dari bahang dosa. Mana mungkin taqwa akan tumbuh subur.

Teringatku tahun lepas, ketika masih di Australia, begitu seronok sekali mengejar berkah bulan mulia. Setiap malam akan aku bertarawih di Beddoe, kadangkala akan aku pergi solat di Monash Halls of Resential. Bintang-bintang di langit menjadi saksi aku berjalan ke sana pada malam yang dingin sambil membaca dan memperkemaskan hafazan. Alhamdulillah, sempat juga aku mencapai target sebelum raya. Tahun ini pula satu ayat pun tak bertambah.

Rindu rasanya akan imam hafiz dari Indonesia itu. Sebaya aku rasanya, dah berjaya memperoleh degree dalam Bachelor of Engineering, kena pulak hafiz. Entah apa namanya lupa. Yang pasti takkan aku lupa akan Brother Bandar. Setiap kali dia memberi ceramah atau khutbah dia akan menyeru hadirin dengan panggilan “Ooo slaves of Allah!” bergetar jiwa ku setiap kali mendengarnya. Terngiang-ngiang lagi akan suara serak imam Arab itu.

Malam raya itu aku tidak tidur. Bekerja keras untuk membuat kuih raya – strawberry cheesecake dan chocolate chip cookies. Tidak terbayang empat orang anak teruna sanggup tak tidur malam untuk memasak kuih – aku, Zumindar, Musafir bumi dan Al-Fatih, geli hati juga mengenangkannya kembali. “Kuihnya sedap” kata orang, cuma presentation agak buruk. Kami anak teruna ni manalah tahu bab-bab menghias. Sungguh manis saat itu, sungguh manis ukhwah yang terjalin antara kami, semanis strawberry chessecake.

Esoknya raya. Kami solat di padang footy Monash University. Indah sekali kedengaran simfoni alunan takbir raya, mengagungkan Yang Maha Penyayang. Sayangnya Dia kerana memberikan kemenangan ini kepadaku serta seluruh umat Islam. “Allahuakbar, Allahuakbar. Allahuakbar walillaa hilhamd” Terasa seluruh anggota turut serta bertakbir dengan getaran merendah diri dihadapan Yang Maha Mulia. Mata ku berlinangan airmata, kemenangan dirasai.

Itu dulu. Kini.....entahla. Sekarang Makmur 505 hanya tinggal aku, Avicenna dan beberapa ekor tikus. Ukhwuh mula rapuh, iman kian menurun. Layakkah esok bagiku? Layakkah aku meyambut Aidilfitri. Namun inilah hakikat Malaysia. Negara tanahair yang mereka katakan medan perjuangan sebenarnya. Medan ujian. Kadangkala timbul rasa menyesal dan tidak puas hati. Setahun di Australia semestinya tidak mencukupi bagiku. Jiwa ini masih mentah untuk dilepaskan ke lautan penuh gelora. “Iman turun naik, turun naik, kemudian terus turun, turun dan turun sehingga susah nak naik dah” itulah kata-kata Musafir bumi. Luahan perasaannya aku mendengar malam-malam terakhir Ramadhan. Jelas sekali dia pun masih lagi tidak mampu untuk menerima hakikat suasana di Malaysia ini.

Tiga pendekar muda yang pulang ke Malaysia. Saat menjejak kaki di tanahair semuanya masih bersemangat, masih hangat iman di dada, masih terbakar api jihad. Namun, makin lama, makin sejuk. Api dipadam hembusan syaitan. Perkara yang Awliyat ditunggang terbalikkan. Kena pulak tahun ini, kami tahun kedua perubatan. Exam dah dekat, assignment bertimbun: HP report, HP presentation, CBP reflective, tiga HLSD, PLP, rural reflective, group reflective, Vertical Internal Assessment, OSCE, Final Exam. Belum masuk lagi monash timetable yang terabur. Hari-hari kelas dari 8pagi sampai 5petang, kalau hari selasa dan khamis pula sampai pukul 7malam. Selalunya akan aku berbuka puasa di dalam kereta proton saga buruk itu. Huh. Malangnya nasib kami ini, ‘experimental batch’.

Oz oh Oz, betapa aku merinduimu. Suasananya, tarbiyahnya....


Walaubagaimanapun, inilah hakikat yang harus aku terima dan harus aku lalui. Akhir-akhir ini aku menyedari apa yang dimaksudkan “Setiap detik kehidupan itu adalah tarbiyah. Janganlah meletakkan tarbiyah itu hanya pada biah dan halaqah.” Pulang ke Malaysia adalah tarbiyah. Suasana yang buruk, itu tarbiyah. Iman menurun juga tarbiyah. Bak kata ustaz “konsep asas tarbiyah kita ini bukanlah untuk melahirkan insan yang tidak melakukan dosa. Kerana sebagai manusia kita tidak mampu untuk lari dari membuat dosa. Tapi apa yang ingin dicapai melalui sistem tarbiyah kita adalah melahirkan rijal yang menyedari setiap kesalahannya dan bersegera dalam bertaubat.” Baru aku sedari, mungkin Allah ingin mengujiku, sejauh mana kepantasan kita untuk bertaubat, secepat mana untuk bersegera merendahkan diri merayu kepadaNya. Iman itu dari Allah, dan Dia jugalah mampu mengambilnya.

Teringat akan kata-kata Al-Maududi, “kita tidak boleh mengukur kuantiti iman, tetapi semua orang mampu untuk mengukur kualitinya.” Bukankah Allah berfirman “Sesungguhnya orang-orang yang beriman ialah mereka yang bila disebut nama Allah gemetarlah hati mereka, dan apabila dibacakan ayat-ayatNya bertambahlah iman mereka [8:2]”. Sekuat mana hati itu mampu bergetar, itulah kualiti iman kamu. Kita yang seharusnya menyedari tahap diri kita. Kita sahaja yang mampu mengubahnya jika disertakan dengan do’a, insyaAllah. Tiada gunanya menyalahkan orang lain mahupun suasana. Kerna setiap kesalahan atau masalah yang kita hadapi sekurang-kurangnya ada dua pihak yang terlibat. Pertama, diri kita sendiri. Kedua, orang-orang disekeliling kita. Ketiga, syaitan, musuh durjana. Persoalannya, aspek manakah yang mampu kita ubah dengan kekuatan yang kita ada?


Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri [13:11]”

Kepada teman-teman seperjuanganku, janganlah banyak memberi alasan, merungut dan menyalahkan orang lain. Teruskan berusaha dan bertawakkal. Anda masih ada kekuatan untuk menang dalam jihad ini.....

"Taqabbal Allah hu minna wa minkum".....Semoga Allah menerima amal ibadah dari diriku dan diri kalian sekelian

“Allahuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar walillaa hilhamd!”

Friday, September 28, 2007

langkah pendekar


17 Ramadhan Tahun Kedua Hijrah
Masih basah kenangan indah

Friday, September 7, 2007

tiga rantai emas

angin nyaman meniup perlahan dari penghawa dingin. suhunya 20 darjah celcius. suasana di bilik 217 hotel neo pegasus tenang tapi sejuk. dekapan selimut penuh kelembutan menghangatkan badan, membelai jiwa yang sedang nyenyak mengembara di alam mimpi. sekali-sekala terdengar bunyi kereta api melintas di depan hotel. keretapi tanah melayu, bunyi geseran antara roda kereta api dengan landasan amat bising. tapi tidak cukup bising untuk menggerakkan jasad yang terpisah dari rohnya seketika.

tiba-tiba kedengaran ayam berkokok dari dalam bilik. alarm tone 'rooster' berkokok tepat pada waktunya, lima minit sebelum azan subuh. dua jasad itu masih terlentang kaku. mungkin rohnya telah mengembara terlalu jauh untuk sedar. lima minit kemudian azan berkumandang sayup-sayup dari Surau Kampung Pulai Jawa, suraunya agak jauh. namun laungan sang bilal cukup kuat untuk menembusi bangunan neo pegassus. "assolatu khairu minna naum". dua tubuh itu masih tidak berganjak. masih mengembara di alam maya. dekapan selimut terlalu lembut dan selesa. atau mungkin dekapan syaitan yang jauh lebih lembut yang membuatkan mereka tidak sedar. pelukan erat penuh 'kasih sayang' dengan menggunakan tiga rantai emas. syaitan membisikkan irama indah ke telinga dengan penuh merdu, lebih merdu dari "assolatu khairu minna naum", hanya bagi mereka yang lemah. sungguh mengasyikkan. mereka tidur lebih nyenyak dari bayi di dalam buaian.

sepuluh minit kemudian 'ayam berkokok' sekali lagi. memang alarm itu ditetapkan untuk berbunyi setiap lima belas minit. mus'ab tersedar dari mimpi panjang. rohnya sudah pulang. mungkin malaikiat yang menghambatkan rohnya untuk kembali. mungkin juga Allah masih sayang pada hambaNya. tidak mahu si hamba dhaif meninggalkan kewajipannya, lalu dicampakkan ke dalam neraka jahanam nanti. di akhirat, itulah seburuk-buruk tempat kembali. apatah lagi di dunia saja pun mereka yang meninggalkan solat sama saja seperti orang yang meminum kencing anjing hitam, malah lebih hina dari itu. (fakta dari hadith nabi)

mus'ab cuba untuk bangun. namun badan masih selesa dengan tiga rantai emas membaluti tubuh, masih terikat dengan katil yang empuk. "Astaghfirullah....Subhanallah wal Alhamdulillah wa Laa ila ha illallah Allahuakbar" lirih dua bibirnya ditambah dengan doa bangun tidur, "Segala puji bagi Allah yang menghidupkan kami setelah kami mati. Dan kepadaNya kami kembali." dzikir pemutus satu rantai emas. "zumindar....bangun, bangun, subuh! dah lambat bang"

mus'ab bangun menuju ke bilik air sambil meraba-raba dinding untuk mencari suis lampu. lampu dipisang, 217 menjadi cerah. zumindar sudah terjaga, duduk dengan kaki melunjur sambil membelek PDA O2 nya untuk menentukan waktu. mus'ab terus masuk ke dalam bilik air. terlebih dahulu bersugi sebelum mengambil wudhu. bersugi menggunakan ubat gigi mukmin, terasa segar sekali. wudhu diambil begitu cermat sekali, perlahan meratakan air di setiap anggota. kanan dulu sebelum kiri. airnya dibuka perlahan agar tidak membazir. selesai berwudhu, satu lagi rantai emas terputus.

terus solat sunat sebelum subuh dikerjakan. solat sunat yang harus dikerjakan biar selambat mana bangun tidur. pernah diriwayatkan di dalam hadith ketikamana nabi dan para sahabat pulang dari perang yang amat meletihkan, mereka terlambat untuk bangun mengerjakan solat subuh. lalu nabi pun memerintahkan mereka untuk solat sunat fajar, iaitu solat sunat sebelum subuh terlebih dahulu. mungkin besar sekali fadhilat solat fajar. kalau tidak, tak mungkin nabi bersabda "Sungguh, dua rakaat solat Fajar lebih aku sukai dari dunia dan seisinya". solatnya mudah dan biasanya nabi mempercepatkan solat dua rakaat itu dengan hanya membaca surah Al-Kafiruun pada raka'at pertama dan surah Al-Ikhlas pada raka'at seterusnya.

selesai solat fajar, mereka mengerjakan solat subuh secara berjamaah. ruang bilik amat kecil jadi terpaksalah menolak katil ke tepi terlebih dahulu. zumindar menjadi imam. seperti biasa dia membaca surah 'Abasa ala-ala mishary rashid. raka'at kedua dia membaca surah As Syams, kali ini lagunya lain. lagunya ceduk dari Sifu, bekas nakib mereka di clayton. tetap indah didengar.
selesai saja solat subuh, al-mathurat dibaca bersama-sama. tiga rantai emas tanggal kesemuanya. tiga rantai yang diikat syaitan untuk mengikat manusia pada katil agar tidak bangun mengerjakan solat subuh, agar membangkitkan kemarahan Allah s.w.t. kerna tidak mengerjakan kewajipan yang diperintahkanNya, agar sama-sama insan itu menjadi rakan syaitan di neraka yang menyala-nyala. tiga rantai emas, pemutusnya hanya tiga perkara; doa bangun tidur, wudhu, solat.



selesai al-mathurat, mus'ab dan zumindar bergegas menyiapkan diri. hari ini hari terakhir mereka di segamat. dua minggu pengalaman 'rural'. banyak lagi yang menanti di hadapan.....

Thursday, September 6, 2007

bidang kamu bukanlah segala-galanya

* dituju khas kepada pelajar-pelajar perubatan, pharmacy dan sesiapa saja yang tak yakin dengan kaedah perubatan selain perubatan moden. juga kepada mereka yang menentang perubatan tradisional.
reflexology

"there are only 40 diseases that can be cured by modern medicine. so far there are about 300 known diseases. you are here to study at medical school for 5 years just to qualify as a doctor and be able to treat the 40 diseases only" (from the novel 'Doctors')

hampir dua minggu di segamat untuk 'rural placement' telah membuka fikiran saya dan juga beberapa pelajar yang lain. hakikatnya ialah perubatan moden bukanlah satu-satunya pilihan untuk merawat penyakit. walaupun kita berpegang pada konsep 'asbab dan musabab' - theory of causality; equal cause have equal effect and vice versa. contoh; seandainya sesak nafas akibat asthma, kenalah ambil bronchodilators (dadah yang menyebabkan bronkus/salur pernafasan mengembang) supaya mudah untuk bernafas semula. logik bukan? apa fungsi buat reflexology. sakitnya di dada, mengapa memicit-micit di kakinya sih. contoh lain; lutut luka akibat terjatuh lalu bengkak. kaedah rawatan moden menggunakan ais untuk mengurangkan pengaliran darah di lutut. tujuannya untuk mempercepatkan pembekuan darah (kerana pengecutan salur darah) dan mengelakkan bengkak yang lebih serius hasil daripada 'inflammatory response'. masuk akalkan? 'abih tu awat hang pi buh minyak angin tang luka tuh?'....."takpa-takpa, dia punya hangat tu boleh bagi baik cepat, satni elokla, hang peghati tengok".

namun begitu, bukan semua perkara perlukan pada penjelasan dan bukti saintifik. perubatan tradisional atau istilah yang lebih tepat 'complementary and alternative medicine' juga ada kelebihannya. tiada bukti kukuh tentang kemujarabannya, tiada juga kaitan antara kaedah rawatan dan punca penyakit, namun hakikat sebenarnya hanya Allah yang maha mengetahui. memang setiap benda berlaku bergantung pada 'asbab dan musabab'. tapi mungkin juga kerana ketiadaan kajian yang menyeluruh terhadap perubatan tradisional telah menyebabkan stigma masyarakat menganggap rawatannya seolah-olah 'magik' lalu terus tidak mempercayainya langsung atau mungkin terlalu mempercayainya secara membuta-tuli (che pun taktau la lagu mana nak habaq hampa bagi paham). kaedah rawatan tradisional menggunakan konsep pengalaman dan pemerhatian dari turun-temurun. takkanlah kita nak menentang suatu perkara yang telah menjadi al-haqqul yaqiin orang lain (keyakinan yang kuat hasil dari pengalaman sendiri).

bak kata Prof I.O "you wont believe in this things until you go for it yourself"

bak kata Dr A.S pula "the genetic makeup of one person to another varies, eventhough modern medicine has a molecular level explanation, the reaction of the human body as a whole will never be the same between one another."

ilmu Allah itu luas. yang kita belajar hanyalah sedikit. justeru, janganlah merasa sombong, hebat dan membutakan hati terhadap sesuatu yang diluar bidang kita. jangan juga memandag rendah ilmu lain.

*syndrome budak medic = syndrome doktor jumud
- tau-tau ja lah

medicine is not everything

Tuesday, September 4, 2007

ramadhan yang dirindui

KUALA TERENGGANU: Umat Islam di negara ini dijangka berpuasa selama 30 hari pada Ramadan ini, bermula 13 September dan menyambut Aidilfitri 13 Oktober.

Penolong Pegawai Tadbir Unit Falak, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Darul Iman Malaysia (UDM), Ahmad Taufan Abdul Rasyid, berkata anak bulan Ramadan dijangka tidak kelihatan pada tarikh melihat anak bulan pada Selasa depan (29 Syaaban).

* source Berita Harian 4/9/2007

Allahumma Balighna Ramadhan
"Ya Allah sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan"

ku menanti
penuh gembira
mengharapkan airmata
membasahkan hati
yang sekian lama
telah ketandusan

kembalilah ramadhan
membawa hujan
menyirami qalbu

ku tak kisah
biarlah kering di bibir,
asalkan basah di hati

agar
dapat ku tanam semula
benih iman
tumbuh subur
dari hati yang suci
membuahkan taqwa
di ladang pahala
moga dapat dituai kelak
di syurga

Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa (Al-Baqarah 2:183)

Monday, September 3, 2007

peringatan datang semula....

adakah takdirku di sini suatu hari nanti?

risk factor/group of renal failure:
  • hypertension
  • diabetes
  • SLE
  • polycystic kidney disease
  • kidney stone
  • urinary tract infection
  • NSAID overdose (ambik panadol kerap sangat)
  • family history of above disease




mereka yang sudah di sini atau berisiko tinggi,
ingatlah.....
umurmu dipanjangkan bukan untuk bersia-sia
pasti ini semua satu ujian

Dan mereka berteriak di dalam neraka itu : "Ya Tuhan kami, keluarkanlah kami niscaya kami akan mengerjakan amal yang saleh berlainan dengan yang telah kami kerjakan." Dan apakah Kami tidak memanjangkan umurmu dalam masa yang cukup untuk berfikir bagi orang yang mau berfikir, dan (apakah tidak) datang kepada kamu pemberi peringatan? maka rasakanlah (azab Kami) dan tidak ada bagi orang-orang yang zalim seorang penolongpun
(Faathir 35:37)

Saturday, September 1, 2007

remembering me

saat itu saya melangkah ke dalam wad paediatrik intensive care unit (paed ICU), hospital segamat. terasa sunyi, bayi-bayi sedang tidur rasanya. terus saya membawa badan ke suatu sudut dalam wad itu. kelihatan seorang bayi lelaki di dalam ventilator. 'pre-term labour' kata nurse, 28 minggu dalam kandungan. tubuhnya kecil, kurus kering, sedikit pucat. badannya kelihatan begitu fragile. kadar pernafasannya sangat lemah. nyawanya bergantung kepada bantuan pernafasan semata-mata. ibunya yang melihat pasti sedih, pilu, pasrah penuh harapan kepada Yang Menghidupkan segala nyawa. kadangkala timbul keraguan, adakah anakku akan terus hidup? peluangnya sangat tipis. si ibu tetap berdoa.....



walaupun fizikal bayi itu nampak lemah, hatinya tetap suci, dia dilahirkan suci, kerna suci adalah fitrah. semangatnya masih kuat untuk meneruskan hidup. mungkin bukan takdirnya untuk mati di dalam ventilator. Allah, Dia Yang Mematikan segala nyawa tidak merancang sebegitu. mungkin bayi itu dibiarkan hidup kerna telah termaktub dalam Qada' dan Qadar, dia bayi yang lemah mempunyai tugas yang teramat penting di dunia ini. mungkin...Wallahualam.

si bayi mengingatkan saya tentang kisah saya dahulu yang juga sebegitu. bayi kerdil, tapi jiwanya suci. tidak akan sampai ke tahap ini tanpa kasih sayang Dia Yang Maha Memelihara. cuma bezanya diri ini, yang kini telah mula mengingkari, mula membangga diri, mula menentang. bezanya jiwa ini yang sudah dikotori anasir kesyaitanan dan kehaiwanan.

melihat bayi itu mengingatkan tujuan saya dibiarkan hidup. badan kecil yang lemah pasti dibiarkan hidup untuk memikul suatu tanggungjawab yang istimewa. saya yakin diluar sana ramai manusia yang dilahirkan sebegini, tapi dibiarkan hidup untuk terus berjuang. sudah tiba masanya untuk kita kembali ke fitrah semula, menyucikan diri dan menyucikan individu-individu yang lahir agar tidak dicemari. agar dapat kita bertemu Dia Yang Maha Suci seperti keadaan kita ketikamana lahir dahulu......inna lillah wa inna illahi raajiun

Friday, August 31, 2007

piring besi dan kotak cahaya warna-warni

hutan sawit menghijau indah, terbentangnya luas di kiri dan kanan sepanjang perjalanan ke Kampung Kudong..... sebuah penempatan orang asli yang terletak di mukim Bekok, daerah Segamat, Johor Darul Takzim. perjalanan ke sana mengambil masa satu jam. pemandangan alam di kiri dan kanan menyejukkan mata, lalu hati pun kembali kepada Al-Khaliq.....Subhanallah. hutan sawit melambai-lambai indah. tenang di sini, tiada bunyi bising seperti di kota, tiada memekak geng rempit, tiada jeritan orang layan bola di kedai mamak, tiada suara sumbang karoake dan pub. bisingnya di sini hanya irama simfoni hutan sawit dan faunanya bertasbih kepada yang Maha Sempurna, hanya kedengaran bagi mereka yang sama memahami dan tidak bosan memuji-Nya. rukuknya membekalkan udara. sujudnya membuahkan minyak. segar udara di sini, dihirup puas-puas. terasa setiap molekul udara melalui rongga hidung menuruni trakea lalu membasahi alveoli. diserapnya setiap oksigen bersih ke dalam sel-sel badan, rasanya lebih bertenaga. alangkah indahnya di sini, semuanya yang asli, tiadanya pencemaran atau kotoran sepertinya di kota.

namun itu yang fizikal. pencemaran datang dalam pelbagai bentuk, mengokotori jiwa-jiwa yang tidak bersalah. alangkah pedihnya mata melihat piring itu tergantung di rumah-rumah, lalu hati kembali kepada yang Maha Pelindung......Astaghfirullah. bayangkan bagaimana penempatan orang asli yang tenang dibaluti keindahan alam dibolosi noda-noda yang mengakibatkan pelbagai masalah sosial di sini. terkesima...bayangkan, bagaimana tempat yang tiada langsung pub, karaoke, ataupun primis sosial yang lain, namun penduduknya banyak yang terlibat dengan dadah, arak, karaoke malah pelacuran. dan mereka sanggup keluar dari kawasan tempat tinggal untuk mendapatkan hiburan tersebut. dari manakah mereka mendapat pendedahan tentang semua hiburan ini? seandainya di kota sudah tentu disebabkan suasananya. di sini, apakah? sudah semestinya dari sebuah piring besi yang terpaut dibumbung dan sebuah kotak cahaya warna-warni di ruang tamu rumah mereka. sungguh keji taktik musuh-musuh Islam. penulis adalah Islam, hutan sawit adalah Islam, juga fauna adalah Islam. bagaimana hanya dengan barang sekecil piring besi dan kotak cahaya warna-warni mampu meracuni pemikiran dan jiwa mereka ini yang dahulunya tidak tahu apa-apa? demi merosakkan manusia, musuh-musuh telah merancang segalanya.

kotak cahaya warna-warni hanya menyinarkan fatamorgana dunia. siapa yang lemah imannya akan terpengaruh, siapa yang kuat insyaAllah akan mampu untuk menapis yang hak sahaja. tetapi untuk masyarakat sebegini yang tidak didedahkan dengan sebarang pendidikan apatah lagi tarbiyah Islam, berdasarkan apakah mereka melakukan pertimbangan? atas dasar apa mereka berfikir? bukankah jiwa yang tidak dididik akan tunduk kepada nafsu? bukankah nafsu itu hanya mahukan yang senang-senang dan menentang segala yang hak?

perhatikan semula isi hutan sawit.....tidaklah seindah zahirnya. sedikit demi sedikit noda menggelapkan hutan sawit. suatu hari hutan sawit dan faunanya tiada lagi simfoni indah. kerana tiadanya khalifah di situ untuk memimpin. tapi hutan sawit akan tetap teguh, mencoba sedaya upaya untuk mengekalkan simfoni indah kerna tiadalah ia diciptakan melainkan untuk mengabdikan diri kepada Al-Khaliq. manusia saja yang tidak tahu ertinya ia diciptakan. hanya tahu menyembah piring besi dan kotak cahaya warna-warni.......

Monday, August 6, 2007

daging masak lemak cili padi

teringat saya pada suatu pagi Abu Mus'ab mengajak saya untuk bersama keluar ke pasar. "hari ni ayah nak ajaq hang masak sket". saya pun ikut serta bersama Abu Musa'b. memang dari dulu lagi saya akan ikut Abi ke pasar, cuma dulunya hanya sekadar tukang angkat barang dan driver, namun pengalaman pulang dari luar negara membuatkan saya ingin mempelajari segala aspek kehidupan untuk mematangkan diri......kali ini, memasak (tak salahkan kalo laki nak belajar memasak)

tibanya di pasar permatang pauh, saya terus mengikut Abi dari belakang, adakalanya berjalan di sebelahnya, sambil menanyakan Abi apakah itu dan ini, apa gunanya, kenapa buat macam tu....rasa macam budak kecil yang baru nak mengenal dunia.

Abi pun membeli bahan-bahan untuk masak, beli yang original.....kunyit, cili padi, cili hidup, serai, halia bawang putih, merah, besar dan lain-lain. tak main la serbuk kunyit adabi ataupun serbuk cili babas. ajinomoto dan sekutunya, out of the list. setelah membeli barang keperluan kami pun pulang ke rumah, meninggalkan mereka yang masih berjuang di medan rezeki mereka....sungguh perit.

sampainya di rumah, kami terus membuat persiapan untuk memasak. menunya banyak, tapi mungkin saya fokuskan 'daging masak lemak cili padi'.

pertama sekali, potong daging mengikut saiz dan bilangan yang diinginkan. kemudian direbus dan diletakkan sedikit halia untuk menghilangkan bau. air jangan terlalu banyak.

sementara itu, kupaskan bawang, potong halia, kunyit, dan cili padi mengikut nisbah daging tadi. 'blend'kan kesemua bahan tadi. masukkan ke dalam periuk berisi daging rebus. kemudian kacau. 5 minit kemudian masukkan santan berkadaran dengan tahap 'kelemakan' yang kita mahu. api perlahankan ke tahap yang paling kecil. seterusnya kacau.....

dan kacau.....

lupa nak tambah serai.....tambahkan, ketuk dulu

sambung mengacau.....

kacau lagi.....(bila nak habis)

dan kacau.....

terus mengacau....

sampai mendidih. mungkin mengambil masa setengah jam, bergantung kepada kuantiti. tujuannya tak nak bagi lemak santan naik. baru kick. sebelum ni saya rasa orang bujang buat masak lemak, pakat main buh ja ikut suka. lemaknya pun naik. tapi Abu Mus'ab kata "hang tak gheti"

*lelaki zaman sekarang bukannya multi-tasking sangat, tak mampu buat banyak kerja all at once, especially kat dapur. kalo dah jadi pengacau tu....haa, pengacau lah kamu.

baca macam senang. cubalah dulu. ini hanya ringkasan, saya tak masukkan perinciannya. belum praktikalnya lagi....menangis sambil memotong bawang. jangan tahu masak je tapi tak tahu mengemas. baru saya terasa susahnya memasak. mungkin sekadar memasak ala orang bujang memanglah senang. tapi nak dapat status masakkan 'melayu asli' tidaklah semudah itu. perlukan latihan. perlukan 'nilai' pada masakan. bukan sekadar isi perut bagi kenyang.

perhatikan, apa yang kamu makan. dari mana datangnya. bagaimana ia dimasak. terima kasihlah pada ibu dah ayah. kalau yang beli kedai, "tulaa...jangan duk bising kalau harga makan mahai sangat, bukan senang nak buat oi" kata Abi.

ini baru bab memasak. belum lagi bab mencari rezeki. belum lagi bab pergi ke pasar. belum lagi bab orang-orang yang menjual di pasar. apatah lagi kesusahan para petani.

tak termasuk lagi aspek-aspek di luar batas kemampuan manusia. air hujan yang digunakan untuk menyirami tanaman dan minuman ternakan. angin untuk membawa hujan. cahaya matahari untuk menghasilkan perbezaan tekanan udara. putaran bumi untuk memberi siang dan malam. kesemua ini dibawah perencanaan Allah s.w.t sebagai Rahmat kepada makhluk-maklhukNya. dari sebesar-besar ciptaan hingga ke sekecil dan sehalus tindakan menyuap nasi ke dalam mulut. belum kira 'peristalsis' dan 'digestion'. siapa yang membolehkan makanan itu menurun kerongkong tanpa tersedak? sungguh perancangan Al-Wakiil itu amat teliti. namun, 'qaliilam maa tasykuruun' - jarang sekali kita bersyukur

ingatlah dengan semangkuk nasi berlaukkan daging masak lemak cili padi sudah banyak yang boleh kita ambil pengajran.


perhatikanlah
falyan zhuril insaanu ilaa to'aamih
"
maka hendaklah manusia itu memperhatikan makanannya. Sesungguhnya Kami benar-benar telah mencurahkan air (dari langit), kemudian Kami belah bumi dengan sebaik-baiknya, lalu Kami tumbuhkan biji-bijian di bumi itu, anggur dan sayur-sayuran, zaitun dan kurma, kebun-kebun (yang) lebat, dan buah-buahan serta rumput-rumputan, untuk kesenanganmu dan untuk binatang-binatang ternakmu" ('Abasa 24-32)

*mungkin metod memasak tidak betul, tapi bukan itu yang hendak disampaikan. saya yakin ramai dikalangan pembaca jauh lebih hebat dalam bab memasak dan mungkin tidak sukar bagi anda untuk masak kelas A.... seandainya ada yang ingin mengajar saya satu resipi baru, menarik juge.... =)

Monday, July 30, 2007

duduk sebentar

duduk sebentar, perhatikan keadaan kamu
dalam ketensionan melihat ragam manusia sekarang, dalam kesedihan melihat kelemahan dan kedhaifan diri, terilhamnya saya untuk menulis blog ini. mungkin hanya sekadar perkongsian pengalaman dari perspective saya. saya yakin ada dikalangan para pembaca juga memilih jalan yang sama seperti saya, baru menempuh ataupun sudah lama mengharunginya. yang pastinya jalan yang lurus ini amatlah panjang. adakalanya kita diduga dengan pelbagai cobaan. dalam keaktifan untuk mengajak manusia kembali ke fitrah, adakalanya diri ini jatuh dan sakit lalu perlu 'merehatkan diri'. namun rehat terlalu lama juga akan membawa masalah; lembik, semput dll.


duduk sebentar; kadangkala perlu

muhasabah dan evaluasi diri, merenung kekurangan serta kesilapan yang dilakukan agar tidak mengulangi kesilapan yang sama, berfikir apakah tujuanku disini? saya yakin ada di kalangan anda yang ada perasaan simpati dan kasih sayang terhadap nasib manusia sekarang. perhatikanlah sendiri. masalah zina, rempit, pergaulan bebas, curi, bunuh etc... belum sentuh lagi isu luar negara, palestin, iraq, afghan. apa yang harus dilakukan? seandainya anda ada perasaan begitu, ketahuilah, masih ada iman terpaut di hati . menyelamlah dalam ke hati, mencari semula mutiara iman, tentu masih ada. anda hanya perlu usaha mencarinya. jangan biarkan ia tenggelam, jangan biar ia lemas mati, lalu ditimbus mendapan noda. justeru, jagalah hati, yang bolak-baliknya lebih laju dari bolak-baliknya air yang mendidih dalam periuk.


duduklah sebentar, sebelum berangkat

jangan terus membabi-buta. banyak kesalahan yang telah ditempuhi kerana terlalu tergesa-gesa. orang muda dan akal pendeknya. jangan biarkan api semangat dibiarkan terlalu panas, membakar diri nanti. simpanlah bekalan api yang berterusan, masih jauh jalan ini.

duduklah sebentar

sepertimana enjin kereta perlu di service berkala, begitulah hati, kalanya setiap hari. seperti katanya Muaz bin Jabal; ijlis binaa nu'min sa'at, "marilah kita duduk untuk beriman sesaat".

duduk sebentar, perhatikan segalanya:

masih boleh diselamatkan