Friday, September 7, 2007

tiga rantai emas

angin nyaman meniup perlahan dari penghawa dingin. suhunya 20 darjah celcius. suasana di bilik 217 hotel neo pegasus tenang tapi sejuk. dekapan selimut penuh kelembutan menghangatkan badan, membelai jiwa yang sedang nyenyak mengembara di alam mimpi. sekali-sekala terdengar bunyi kereta api melintas di depan hotel. keretapi tanah melayu, bunyi geseran antara roda kereta api dengan landasan amat bising. tapi tidak cukup bising untuk menggerakkan jasad yang terpisah dari rohnya seketika.

tiba-tiba kedengaran ayam berkokok dari dalam bilik. alarm tone 'rooster' berkokok tepat pada waktunya, lima minit sebelum azan subuh. dua jasad itu masih terlentang kaku. mungkin rohnya telah mengembara terlalu jauh untuk sedar. lima minit kemudian azan berkumandang sayup-sayup dari Surau Kampung Pulai Jawa, suraunya agak jauh. namun laungan sang bilal cukup kuat untuk menembusi bangunan neo pegassus. "assolatu khairu minna naum". dua tubuh itu masih tidak berganjak. masih mengembara di alam maya. dekapan selimut terlalu lembut dan selesa. atau mungkin dekapan syaitan yang jauh lebih lembut yang membuatkan mereka tidak sedar. pelukan erat penuh 'kasih sayang' dengan menggunakan tiga rantai emas. syaitan membisikkan irama indah ke telinga dengan penuh merdu, lebih merdu dari "assolatu khairu minna naum", hanya bagi mereka yang lemah. sungguh mengasyikkan. mereka tidur lebih nyenyak dari bayi di dalam buaian.

sepuluh minit kemudian 'ayam berkokok' sekali lagi. memang alarm itu ditetapkan untuk berbunyi setiap lima belas minit. mus'ab tersedar dari mimpi panjang. rohnya sudah pulang. mungkin malaikiat yang menghambatkan rohnya untuk kembali. mungkin juga Allah masih sayang pada hambaNya. tidak mahu si hamba dhaif meninggalkan kewajipannya, lalu dicampakkan ke dalam neraka jahanam nanti. di akhirat, itulah seburuk-buruk tempat kembali. apatah lagi di dunia saja pun mereka yang meninggalkan solat sama saja seperti orang yang meminum kencing anjing hitam, malah lebih hina dari itu. (fakta dari hadith nabi)

mus'ab cuba untuk bangun. namun badan masih selesa dengan tiga rantai emas membaluti tubuh, masih terikat dengan katil yang empuk. "Astaghfirullah....Subhanallah wal Alhamdulillah wa Laa ila ha illallah Allahuakbar" lirih dua bibirnya ditambah dengan doa bangun tidur, "Segala puji bagi Allah yang menghidupkan kami setelah kami mati. Dan kepadaNya kami kembali." dzikir pemutus satu rantai emas. "zumindar....bangun, bangun, subuh! dah lambat bang"

mus'ab bangun menuju ke bilik air sambil meraba-raba dinding untuk mencari suis lampu. lampu dipisang, 217 menjadi cerah. zumindar sudah terjaga, duduk dengan kaki melunjur sambil membelek PDA O2 nya untuk menentukan waktu. mus'ab terus masuk ke dalam bilik air. terlebih dahulu bersugi sebelum mengambil wudhu. bersugi menggunakan ubat gigi mukmin, terasa segar sekali. wudhu diambil begitu cermat sekali, perlahan meratakan air di setiap anggota. kanan dulu sebelum kiri. airnya dibuka perlahan agar tidak membazir. selesai berwudhu, satu lagi rantai emas terputus.

terus solat sunat sebelum subuh dikerjakan. solat sunat yang harus dikerjakan biar selambat mana bangun tidur. pernah diriwayatkan di dalam hadith ketikamana nabi dan para sahabat pulang dari perang yang amat meletihkan, mereka terlambat untuk bangun mengerjakan solat subuh. lalu nabi pun memerintahkan mereka untuk solat sunat fajar, iaitu solat sunat sebelum subuh terlebih dahulu. mungkin besar sekali fadhilat solat fajar. kalau tidak, tak mungkin nabi bersabda "Sungguh, dua rakaat solat Fajar lebih aku sukai dari dunia dan seisinya". solatnya mudah dan biasanya nabi mempercepatkan solat dua rakaat itu dengan hanya membaca surah Al-Kafiruun pada raka'at pertama dan surah Al-Ikhlas pada raka'at seterusnya.

selesai solat fajar, mereka mengerjakan solat subuh secara berjamaah. ruang bilik amat kecil jadi terpaksalah menolak katil ke tepi terlebih dahulu. zumindar menjadi imam. seperti biasa dia membaca surah 'Abasa ala-ala mishary rashid. raka'at kedua dia membaca surah As Syams, kali ini lagunya lain. lagunya ceduk dari Sifu, bekas nakib mereka di clayton. tetap indah didengar.
selesai saja solat subuh, al-mathurat dibaca bersama-sama. tiga rantai emas tanggal kesemuanya. tiga rantai yang diikat syaitan untuk mengikat manusia pada katil agar tidak bangun mengerjakan solat subuh, agar membangkitkan kemarahan Allah s.w.t. kerna tidak mengerjakan kewajipan yang diperintahkanNya, agar sama-sama insan itu menjadi rakan syaitan di neraka yang menyala-nyala. tiga rantai emas, pemutusnya hanya tiga perkara; doa bangun tidur, wudhu, solat.



selesai al-mathurat, mus'ab dan zumindar bergegas menyiapkan diri. hari ini hari terakhir mereka di segamat. dua minggu pengalaman 'rural'. banyak lagi yang menanti di hadapan.....

No comments: